mutakhir

[UPDATE] 'Kami rancang tunang dan nikah' [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid dan Norizuan Shamsuddin

“KAMI merancang bertunang Jun ini. Saya sudah beritahu bapanya keluarga kami akan menghantar rombongan meminang ke Medan (Indonesia),” kata Hamirul Nizat Abdullah, 27.

Bakal tunangnya, Ayu Zulkarnain, 23, adalah seorang daripada 12 yang maut dalam kemalangan bas terjunam ke dalam longkang sedalam 10 meter di Jalan S8 Pekeliling berhampiran MAS Kargo Sepang 11.10 malam tadi.

Hamirul Nizat berkata, dia mengenali Ayu selama dua tahun yang bertugas sama tempat kerja di MAS Kargo.

“Saya penyelia manakala Ayu bertugas sebagai kerani di tempat kerja kami itu.

“Kami sudah mengenali hati budi masing-masing serta bersetuju meneruskan perhubungan dengan pertunangan.

“Hujung tahun ini atau awal tahun depan kami merancang melangsungkan pernikahan,” katanya yang masih terkejut dan bersedih dengan kejadian itu.

Ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang hari ini Hamirul Nizat memberitahu dia dimaklumkan kemalangan itu 1 pagi tadi.

Ketika mendapat panggilan telefon daripada rakan sekerja, dia berada di rumahnya di Felda Keratong, Pahang kerana ada kenduri di rumah saudara.

“Kali terakhir Ayu menghantar WhatsApp malam hari kejadian itu memaklumkan bas pekerja datang lewat.

“Kemudian saya hubungi menerusi panggilan telefon dan WhatsApp namun tiada balasan.

“Pada 1 pagi saya dapat berita Ayu seorang daripada mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan bas pekerja itu,” katanya.

Sejurus mendapat maklumat kejadian itu, dia terus menghubungi keluarga Ayu di Medan.

Menurutnya, dia difahamkan majikan akan melakukan urusan membawa Ayu yang juga anak ketiga daripada lima beradik itu ke Sei Rampah, Medan untuk disemadikan di sana.

Berita berkaitan:

  • 'Kalau ada salah laku, tarik lesen
  • 'MASkargo bantu urus penghantaran pulang jenazah
  • 'Mangsa dalam bas berterabur' [METROTV]
  • Bas terjunam: Kematian cecah 12 orang
  • Pemandu bas tiada rekod kesalahan lalu lintas
  • Kenapa bas ikut laluan berbeza?
  • Bas terbabit nahas sudah dialihkan
  • [UPDATE] Mangsa kakitangan Mutiara Kayamas
  • [UPDATE] Seorang lagi penumpang maut [METROTV]
  • 10 maut nahas bas pekerja
  • Disiarkan pada: April 8, 2019 @ 11:42pm
    d