mutakhir

Kemalangan Turki: Kakitangan PKNS selamat tiba di tanah air [METROTV]

Oleh Nur Lela Zulkipli

SUASANA hiba menyelubungi perkarangan bangunan Ibu Pejabat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) apabila 27 kakitangan syarikat itu yang terselamat dalam kemalangan di Turki minggu lalu, tiba di Shah Alam, hari ini.

Kesemua 27 kakitangan itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Tehran kira-kira 10 pagi tadi sebelum berangkat ke Ibu Pejabat PKNS dengan menaiki bas untuk bertemu ahli keluarga dan kakitangan PKNS yang sedang menunggu.

Kesedihan turut terpancar pada wajah lebih 500 kakitangan PKNS yang masih terasa akan kehilangan rakan sekerja, Azalan Miswan, 50, yang maut dalam kemalangan berkenaan semasa dalam perjalanan dari Pamukkale ke Cappadocia.

Ketua rombongan, Asana Ali, 58, berkata, dia masih tidak boleh melupakan kejadian berkenaan yang berlaku terlalu pantas sehingga mengorbankan rakan baiknya yang dikenali dengan sikap suka membantu orang ramai itu.

“Saya mengenali arwah sejak kami bujang lagi, kami sama-sama membina keluarga dan kerjaya sepanjang di PKNS. Sudah tentu saya akan rindukan dia.

“Arwah juga suka mengusik dengan sering ‘misscall’ rakan sekerja yang sedang sibuk di dalam mesyuarat. Saya akan rindukan tindakan arwah yang selalu hiburkan rakan-rakan,” katanya yang juga Pengurus Jualan Hartanah PKNS ketika ditemui, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai perubahan sikap arwah, Asana berasa hairan mengapa Azalan menjadi pendiam sebaik tiba di Turki sedangkan dia adalah seorang yang ceria.

“Saya sempat bertanya kepada isteri yang turut mengikuti rombongan kenapa arwah diam sahaja. Ketika itu tidak mengesyaki apa-apa kerana mungkin arwah mempunyai alasan tersendiri.

“Namun, itu petanda arwah mahu meninggalkan kami semua. Sukar untuk saya terima ketentuan ini, namun Allah SWT sudah menentukan apa yang terbaik dan kita semua wajib menerimanya dengan reda.

“Arwah juga pada awalnya berat hati untuk ke Turki kerana jika mengikut perancangan awal, kami sepatutnya ke Maghribi, namun terdapat halangan lain,” katanya.

Seorang lagi peserta rombongan, Mohd Fahmy Baharudin, 39, berkata, dia adalah orang pertama yang menyedari terdapat bunyi geselan besi di bahagian belakang bas berkenaan.

“Saya duduk di bahagian belakang bas dan terdengar bunyi besi yang bergesel. Saya kemudiannya memaklumkan kepada pemandu bas sebelum dia berhenti di stesen minyak berhampiran untuk memeriksa punca bunyi berkenaan.

“Selepas pemandu bas yakin tiada masalah, kami meneruskan perjalanan kira-kira 10 minit sebelum bas berkenaan hilang kawalan dan terbabas memasuki parit,” kata yang Penolong Pegawai Seni Bina PKNS itu.

Menurutnya lagi, ketika kejadian, peserta rombongan panik dan mahu menyelamatkan diri masing-masing, namun dia terlihat kelibat arwah Azalan yang tidak bergerak sekali gus menguatkan nalurinya bahawa rakannya itu sudah meninggal dunia.

“Saya cuba selamatkan peserta yang cedera untuk keluar dari bas bagi mengelak perkara yang lebih buruk berlaku, namun saya lihat Azalan tidak bergerak dengan keadaannya tersepit.

“Saya tidak pedulikan luka di tubuh kerana apa yang lebih penting keselamatan orang lain. Ini adalah pengalaman yang tidak mungkin saya dapat lupakan sampai bila-bila,” katanya.

Sementara itu, enam lagi peserta rombongan yang mengalami kecederaan lebih serius akan tiba di KLIA kira-kira 9 malam ini dan dibawa terus ke Hospital Pakar Avisena, di sini, bagi rawatan lanjut.

Mereka adalah Shahmun Ishak; Zurani Mohamad Darum; Amim Mohamad Darum; Norzakiah Mohd Akhir; Shamsul Bahrin Md Shukur dan Mohd Zain Sarman.

Dalam kejadian 16 Oktober lalu kira-kira 11.35 pagi waktu tempatan, Azalan Yang juga Eksekutif Jualan Hartanah PKNS maut selepas bas yang dinaiki bersama 34 rakyat Malaysia terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan dari Pamukkale ke Cappadocia.

Berita berkaitan

Kerajaan, hospital Turki beri kerjasama

'Wisma Putra banyak bantu'

Allahyarham Azalan selamat dikebumikan

Jenazah Azalan akan dibawa pulang

'Bas terhuyung-hayang sebelum terbabas dan terbalik'

Identiti rakyat Malaysia maut di Turki dikenal pasti [METROTV]

[UPDATE] Empat rakyat Malaysia parah di Turki

[UPDATE] 'Saya doakan mereka selamat'

[UPDATE] PKNS tunggu maklumat kemalangan di Turki

1 maut, 10 cedera, nahas bas di Turki

Disiarkan pada: October 21, 2019 @ 5:52pm
d