mutakhir

'Bapa mana mak?' - anak Koperal Norihan

Oleh BERNAMA

Kangar: "Bapa mana mak…? Adik nak jumpa, rindu."

Persoalan itu berat untuk dijawab Fardilla Adam, 35, setiap kali ditanya oleh dua anaknya yang sebelum ini sering dihubungi bapa mereka, Koperal Norihan Tari, melalui panggilan video setelah habis bertugas.

Norihan, 39, anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang kini dinaikkan ke pangkat Sarjan, sedang dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, selepas parah dalam insiden berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand, semalam.

Dalam insiden awal pagi itu, rakan setugas Norihan, Koperal Baharuddin Ramli, 54, yang turut dinaikkan pangkat, terbunuh di lokasi kejadian, kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 di Padang Besar, Perlis.

Baharuddin dan Norihan, dari unit Senoi Praaq PGA Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang terbabit dalam pengumpulan maklumat, terserempak dengan kira-kira 13 penyeludup, menyebabkan berlakunya kejadian berbalas tembak itu.

Fardilla yang bergegas ke sini dari Kampung Orang Asli Jeram Kedah, Ulu Beranang, Negeri Sembilan untuk berada di sisi suaminya berkata, Norihan suka melayan telatah anak lelaki mereka, Rayyan Jesly, 8, dan anak perempuan, Notesa, 7, selain sering membuat panggilan video setelah habis bertugas.

"Lidah saya terkedu apabila anak-anak minta saya menghantar gambar bapa mereka, sedangkan saya tidak mampu berbuat demikian kerana suami saya kini dalam pengawasan rapi pihak hospital setelah menjalani satu pembedahan semalam," katanya kepada Bernama ketika ditemui di lobi HTF, hari ini.

Suri rumah itu berkata, beliau terpaksa meminta ibunya menjaga anak-anaknya itu di kampung.

Semasa perbualan, wanita itu beberapa kali memandang ke arah tingkap sambil mengesat air mata.

Katanya, apa yang penting adalah suaminya selamat dan kini berada dalam keadaan stabil.

Fardilla berkata, beliau datang ke Perlis dengan bantuan anggota polis dari Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Negeri Sembilan, sampai ke HTF pada 9.00 pagi.

Kejadian kira-kira 3 pagi itu dilaporkan berlaku di kawasan belukar di kebun getah yang dijadikan kawasan laluan penyeludupan, kurang 600 meter dari kawasan sempadan. Tembakan anggota polis itu telah mencederakan beberapa penyeludup dan ada di antaranya ditahan polis Thailand.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, PDRM bersetuju menaikkan pangkat Baharuddin Ramli dan Norihan yang bertugas di Batalion 3 (Senoi Praaq) Briged Utara PGA kepada Sarjan.

Abdul Hamid berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri upacara pengebumian mendiang Baharuddin, dari suku kaum Semelai, dengan penuh istiadat kepolisan sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Orang Asli, Kampung Sungai Sampo, Bandar Sri Jempol.

Berita berkaitan

2 anggota PGA dinaikkan pangkat Sarjan bagi hargai keberanian mereka [METROTV]

Koperal Baharuddin selamat dikebumikan

3 lelaki Thailand, 15 tempatan direman

PGA ditembak: Mendiang mahu baiki rumah

2 das tembakan di perut, dada Koperal Baharuddin

PGA ditembak: 'Tak sangka itu gurauan terakhir mendiang'

''Mendiang abang cekal, sangat berani'''

'PGA ditembak: Mendiang dibawa ke Bahau selepas selesai bedah siasat''

'Pemergian Baharuddin kehilangan besar buat negara''

Anggota VAT69 pantau lokasi serangan - KPN'

Anggota PGA maut diserang: KDN arah siasatan menyeluruh'

Ketua Polis Negara sahkan anggota PGA maut ditembak'

'Sindiket penyeludupan dipercayai serang anggota PGA'

'Anggota PGA maut ditembak di sempadan Malaysia-Thailand'

Disiarkan pada: November 25, 2020 @ 8:30pm
d