utama

2 lagi suspek kes bunuh polis ditahan

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

POLIS Kontinjen Negeri Kedah menahan dua lagi lelaki bagi membantu siasatan kes pembunuhan anggota polis Bukit Aman, Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek berusia 36 dan 37 tahun yang masing-masing bekerja sendiri itu ditahan di Alor Setar dan Jitra, semalam.

Beliau berkata, kedua-dua suspek direman selama seminggu mulai hari ini hingga 31 Ogos ini bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan kes berkenaan.

"Selain dua suspek terbabit, polis turut mendapat perintah mahkamah untuk melanjutkan tempoh reman suspek pertama berusia 35 tahun selama tujuh hari lagi bermula esok hingga 1 September ini," katanya dihubungi di Alor Setar.

Terdahulu, ketiga-tiga suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah Alor Setar pada 9 pagi sebelum diikuti prosiding tertutup permohonan perintah reman oleh pegawai penyiasat di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman.

Mior Faridalathrash berkata, penahanan dua lagi suspek itu menjadikan sembilan orang ditahan setakat ini susulan kes itu.

Dalam kejadian 10.25 malam Jumaat minggu lalu, Sub Inspektor Abu Hashim Ismail, 54, yang bertugas di Bahagian Jenayah Kongsi Gelap (D7A) Bukit Aman, maut ditembak penyerang di rumah di Taman Seri Hosba, Changlun.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan mengunjungi rumah lelaki yang pernah ditahan kerana terbabit dalam kegiatan jenayah penyeludupan di sempadan.

Berita berkaitan

Dua lagi ditahan

Siasat kaitan kongsi gelap

Mungkin ada tangkapan lagi

Pembunuh upahan yang bunuh

Suspek bunuh Sub Inspektor direman

Suspek kedua bunuh Sub Inspektor ditahan

Suspek bunuh Sub Inspektor ditahan

Arwah ditembak masa tengah berbual

Anggota polis Bukit Aman maut ditembak

Disiarkan pada: August 25, 2017 @ 4:35pm
d