mutakhir

Polis teliti rakaman CCTV

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

POLIS akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti punca kemalangan bas di Jalan S8 Pekeliling Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dekat MASkargo Sdn Bhd (MASkargo) di Sepang, lewat malam Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamsah berkata selain CCTV, pihaknya juga akan menyiasat daripada pelbagai sudut serta mencari punca insiden berkenaan menerusi keterangan yang diberikan mangsa kemalangan.

Katanya, setakat ini sebanyak enam saksi yang juga mangsa kemalangan sudah dirakam keterangan oleh pihaknya semalam.

“Manakala 17 lagi mangsa yang terselamat akan dirakam percakapan secara berperingkat sama ada kita sendiri menemui mereka atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Zulkifli memaklumkan setakat ini hanya 12 maut termasuk seorang warga tempatan yang juga pemandu bas.

“Warga tempatan itu sudah dituntut oleh keluarganya, manakala 11 lagi mayat masih belum dituntut termasuk dua yang belum dapat dibuat pengecaman,” katanya.

Pada masa sama Zulkifli turut meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian terbabit untuk segera menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian pada 11.10 malam Ahad lalu, bas terbabit membawa 43 warga asing yang juga pekerja kontrak MASkargo dalam perjalanan ke tempat kerja dari asrama mereka di Nilai, Negeri Sembilan.

Siasatan awal mendapati bas terbabit hilang kawalan sebelum menjunam ke dalam longkang sedalam 10 meter.

Mangsa yang maut ialah lima warga Bangladesh, Indonesia (empat), Nepal (dua) dan seorang lelaki warga tempatan.

Berita berkaitan:

  • Mayat pemandu bas dituntut keluarga
  • 'Kalau ada salah laku, tarik lesen
  • 'MASkargo bantu urus penghantaran pulang jenazah
  • 'Mangsa dalam bas berterabur' [METROTV]
  • Bas terjunam: Kematian cecah 12 orang
  • Pemandu bas tiada rekod kesalahan lalu lintas
  • Kenapa bas ikut laluan berbeza?
  • Bas terbabit nahas sudah dialihkan
  • [UPDATE] Mangsa kakitangan Mutiara Kayamas
  • [UPDATE] Seorang lagi penumpang maut [METROTV]
  • 10 maut nahas bas pekerja
  • Disiarkan pada: April 9, 2019 @ 1:28pm
    d