mutakhir

Belum sampai ajal, remaja Malaysia lari 1.5km [METROTV]

Oleh BERNAMA

SEORANG remaja Malaysia terpaksa memanjat tembok masjid dan berlari sejauh hampir 1.5 kilometer (km) untuk menyelamatkan diri dalam serangan pengganas di Christchurch, New Zealand, hari ini.

Idris Khairudin, 14, pergi ke Masjid Al Noor untuk menunaikan solat Jumaat dan tidak seperti selalu, remaja itu sering bersolat di bahagian dalam masjid, tetapi hari ini memilih solat di ruang belakang.

Dalam tempoh menunggu untuk berjemaah sebelum solat Jumaat, tiba-tiba dia terdengar bunyi tembakan dan cermin pecah serta jeritan menyuruh jemaah lari.

“Tanpa berfikir panjang, Idris pantas meluru keluar, memanjat tembok masjid, berselindung seketika sebelum berlari menyelamatkan diri,” kata kakaknya Nur Balqis Khairudin, 20, yang menceritakan pengalaman adiknya itu.

Nur Balqis, penuntut Hagley College di Christchurch, berkata demikian kepada Bernama ketika dihubungi di sana.

“Idris hubungi saya sambil berlari tetapi dia tidak tahu ke mana arah hendak dituju. Lalu saya suruh dia lari ke Hagley College.

“Memang panik dan risau sangat fikirkan dia. Ketika itu saya dan seorang lagi adik Nur Zahirah berada di rumah dan tak ada pengangkutan.

“Saya terpaksa meminta bantuan orang awam menumpangkan kami ke kolej untuk mengambil Idris. Lepas itu kami terus bawa Idris pulang dan hubungi mama (ibu),” kata Nur Balqis.

Menurut Nur Balqis, beliau dan dua adiknya kini berada dalam keadaan selamat, terkawal dan berada di rumah mereka yang terletak kira-kira 3km dari tempat kejadian.

Idris adalah pelajar di Hilmorton High School di Christchurch, manakala Nur Zahiran belajar di kolej yang sama dengan kakaknya.

Sementara itu, ibu mereka, Zarita Abdul Razak, 49, yang berada di Nibong Tebal, Pulau Pinang, bersyukur sebaik dihubungi tiga anaknya menerusi panggilan video.

Menurut Zarita, dia berasa tidak sedap hati sebaik mendapat mesej menerusi aplikasi Whatsapp daripada Nur Balqis bertulis, ‘Ma, can I call you’ (Boleh saya panggil anda).

Zarita, seorang suri rumah, menarik nafas lega dan bersyukur sebaik sahaja selesai mendapat panggilan video itu dan bertambah tenang apabila mengetahui ketiga-tiga anaknya itu dalam keadaan selamat di rumah mereka.

“Tuhan saja yang tahu perasaan saya ketika itu, tiga anak saya ada di sana sedangkan kita di sini. Lemah lutut rasanya.

“Syukur mereka selamat, namun kami tetap bimbang dan bersedih apabila mengetahui ada rakyat Malaysia yang tercedera,” katanya.

Zarita berkata suaminya, Dr Khairudin Mohamed, 52, pensyarah di Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik di Universiti Sains Malaysia Nibong Tebal, baru sahaja pulang ke Malaysia hujung bulan lalu sebaik selesai urusan kerja serta menguruskan pengajian anak mereka.

Sekurang-kurang 49 orang terbunuh dan berpuluh lagi cedera dalam serangan keganasan di dua masjid di bandar raya Christchurch.

Berita berkaitan

Semua penuntut Malaysia selamat di Christchurch

Ibu Rahimi ke New Zealand esok

'Pasukan perisik Malaysia mantap - PM'

'Terkejut anak cedera'

'Suami saya cedera teruk'

Tembakan selepas azan pertama

"Meremang bulu roma saya"

[UPDATE] 49 sudah terbunuh

'Jangan kongsi video tembak'

'Saya hanya nak suami selamat'

[UPDATE] Tiada rakyat kita maut setakat ini

[UPDATE] 40 maut, lebih 20 cedera

Azmin kutuk kejadian tembakan rambang

Wajah pengganas

'Suami biasa solat di masjid itu'

[UPDATE] Seorang rakyat kita cedera

Periksa rakan dan ahli keluarga di Christchurch

Tembakan dalam masjid di New Zealand

Siar serangan secara langsung

Peluru lintas kepala

Disiarkan pada: March 15, 2019 @ 11:58pm
d